Rabu, 27 November 2019

PEMIKIRAN YANG BOLEH DIRUNGKAIKAN BERDASARKAN KARYA KARYA SHAHNON AHMAD YANG MAHSUR

Pemikiran yang boleh dirungkaikan berdasarkan karya-karya Shahnon Ahmad yang mahsur

Novel

Pemikiran dalam Novel ‘Srengenge’: Simbolisme Konflik Nilai
Antara pemikiran yang dikeluarkan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Srengenge ialah:
a)      Unsur animisme
Unsur animisme merupakan satu faktor penting dalam kehidupan di kawasan pedalaman. Pada orang Kaki Srengenge, Bukit Srengenge adalah tempat penyerahan dalam hidup, kerana Srengenge merupakan sumber penyambung nafas hidup orang Kaki Srengenge. Segala-galanya mereka dapat daripada bukit tersebut. Hal ini jelas terbukti dalam petikan, iaitu: 
“Bukan sahaja tekukur tapi juga napuh, puling, punai, serindit, pelanduk, kayu api, rotan, bertam, akar, buah-buah, pucu-pucuk kayu, daun ketupat (palas), buluh lemang, gondang di paya, merbuk, entahlah, semuanya hasil Srengenge. Orang Kaki Srengenge Cuma ambil saja. Useng kadang-kadang mahu tunduk kepala menyembah Srengenge yang tersergam itu. kalau tidak ada Srengenge, entah apalah akan jadi kepada anak buah Kaki Srengenge ini. Tiang rumah, dinding rumah, papan rumah, atap rumah, malah semua rumah dibuat hasil Srengenge juga. Buah-buah kayu lagi”.
                                                                                                                              (Hlm. 141)

b)      Konflik nilai
Dalam novel ini, diperlihatkan satu sistem nilai dalam kalangan kehidupan manusia di kampung. Masing-masing mempunyai kemahuan dan minat dalam membuat sesuatu dan sesuatu yang dikerjakan itu membawa nikmat yang tak ada tandingannya. Buktinya:
“Siddik berminat menepuk pelanduk di Srengenge. Dia gemar melihat kaki pelanduk terkengkeng kena jerut tali ciding… Melihat pelanduk terbingkas ke udara terkengkeng terkoyak paha itu memberi sesuatu yang paling nikmat buat Siddik; sesuatu nikmat yang dia sendiri tidak tahu hendak cerita” (hlm.20).
      “Saad Cik Lah berminat dalam menggetah puling atau punai. Saad hanya seronok melihat burung-burung itu terkena getah. Memberikan sesuatu kegembiraan yang amat       sangat padanya bila melihat burung itu menggelupur terkejang-kejang di pucuk kayu”    (hlm. 170).
Konflik nilai ini juga terdapat pada bini-bini mereka. Bini Useng berkata landak itu hamis dan hancing, makan ‘ikut terhadap’ dan muncungnya macam babi (hlm. 179). Srengenge merupakan lambang sebuah hidup yang penuh konflik yang universal baik dalam bidang apa sekalipun. Gagasan Awang Cik Teh yang ingin membawa orang kampungnya maju telah ditentang habis-habisan, malah dikaitkan pula dengan unsur-unsur ghaib yang menyebabkan Iman Hamad mati. 
 Awang Cik Teh lambang reformer mempunyai world view baru dalam hidupnya. Dia mempunyai sikap, falsafah dan fahaman sendiri bagaimana manusia boleh maju. Imam Hamad dan Diah hanya berkata meracik tekukur hanya satu perkara yang baik; pada Saad Cik Lah, “Tidak ada yang lain yang paling sedap di dunia ini kecuali menggetah burung”; Useng dengan napuh dan pelanduknya. Mereka sayangkan Srengenge yang sentiasa memberi nikmat. Tetapi, ada ‘orang luar’ yang bukan bumiputera hendak bermaharajalela. Jelaslah bahawa konflik timbul kerana mereka tidak menghormati nilai masing-masing.




Pemikiran dalam Novel ‘SHIT’
Pada tahun 1999, sasterawan negara ini telah menggemparkan dunia penulisan dan institusi pentadbiran negara apabila beliau melancarkan novel hangatnya yang berjudul ‘SHIT’. Melalui novel ini, Shahnon jelas mengkritik individu-individu yang memegang kuasa politik negara tetapi tidak menunjukkan etika-etika yang baik dalam pentadbiran. Watak PukiMak atau PM merupakan pemimpin politik yang mempunyai sikap negatif. PM tidak menunjukkan sifat-sifat positif yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Oleh itu, terdapat beberapa pemikiran yang telah dikemukakan dalam novel, iaitu:
a)      Pemimpin yang gila kuasa dalam pentadbiran.
Shahnon lantang mengkritik seorang pemimpin yang dikatakan gila kuasa dalam urusan pentadbiran. Hal ini jelas terbukti dalam petikan:
      “…PM boleh mencurahkan seberapa banyak kekenyangan kepada ketulan sesiapa saja       tapi bukan menyerah kekuasaan. Malah setitik kekuasaan pun tak akan dimiliki bersama. PM tidak dapat berbincang aspek kuasa itu. PM tidak Nampak dan tidak terasa bahawa ketulan lain boleh dan berhak dalam bidang memiliki kuasa ini…”
                                                                                                   (Shahnon Ahmad 1999:158)
      Petikan ini menunjukkan watak PM bagaikan tidak mahu bercakap mengenai kekuasaan dengan sesiapapun kerana dia merasakan dirinya sahaja yang berhak memegang kekuasaan itu. jadi, PM sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat mempertahankan kekuasaannya. Dengan adanya kuasa, PM dapat memerintah mengikut kemahuannya tanpa mengendahkan kepentingan pihak lain terutamanya rakyat di bawah pimpinannya. Watak PM dalam novel ini begitu mementingkan kuasa yang dimiliki sehingga tidak mengendahkan perkara yang berlaku, asalkan kuasanya dapat dipertahankan. Baginya, tiada siapa dan apa yang dapat menandingi kekuasaan yang dimilikinya.

b)      Pemimpin yang kejam dalam pemerintahan.
Shahnon menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap pemimpin yang kejam dalam pemerintahan. Rakyat akan menggambarkan pemimpin sebagai individu yang mulia dan prihatin akan kebajikan rakyat. Walau bagaimanapun, sesiapapun tidak akan mengetahui niat sebenar di sebalik pimpinan mereka. Ada pemimpin yang bersikap positif dan ada juga yang bersikap negatif. Pemimpin yang bersifat kejam akan menyebabkan rakyat menderita walaupun bukan dari segi fizikal. Merujuk kepada satu petikan dalam novel ini, petikan tersebut jelas menunjukkan sikap pemimpin yang kejam dalam pentadbiran, iaitu:
 “…Dia boleh perintah apa saja yang terkeluar dari mulutnya. Atau pun boleh jadi PM sendiri hulur lubang keramatnya dan dia perintah aku memasuki lubang keramatnya.  Setiap perintah dari PM wajib dipatuhi kerana kalau tidak, akan ditangkap, digari,ditumbuk sampai bengkak-bengkak…”
                                                                                                     (Shahnon Ahmad 1999:64)
            Jelasnya, hal ini boleh menimbulkan kemudaratan seperti kecedaraan dan kematian. Pemimpin politik boleh mengeluarkan perintah kepada pengikut-pengikutnya tetapi mesti bersesuaian dan tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang. Jika sampai memukul dan mencederakan apabila perintah tidak dituruti, hal ini boleh menimbulkan banyak masalah. Kita sebagai rakyat mestilah menginginkan seorang pemimpin yang mempunyai sifat yang baik dan bukannya bersifat kejam sedemikian. Itulah pemikiran yang cuba diketengahkan oleh pengarang Shahnon Ahmad dengan menggambarkan pemimpin yang kejam, iaitu membuat perkara yang tidak sepatutnya, sekiranya perintah mereka dipatuhi seperti menangkap dan memukul. Setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara rundingan dan bukannya dengan cara yang kejam.


Cerpen


Pemikiran dalam cerpen Anjing-anjing
Kumpulan cerpen Anjing-anjing ini juga merupakan salah sebuah karya Shahnon Ahmad yang mempunyai tujuh buah cerpen sahaja di dalamnya. Cerpen ini mengandungi persamaan tema dan persoalan yang menceritakan tentang latar belakang dunia kota di Alor Setar, iaitu kisah-kisah kebinatangan perangai manusia yang hidupnya lebih didorong oleh nafsu seks dan hiburan semata-mata.
Dengan pegangan kepada slogan “Seni untuk Masyarakat”, walaupun tanpa disedari, Shahnon Ahmad mengetengahkan persoalan masyarakat di sekitar Alor Setar. Hal ini jelas kerana setiap cerpen diberikan pendahuluan “Pengakuan Pengarang” sebagai panduan kepada pembaca mengenai sumber proses kreatifnya. Kumpulan cerpen Anjing-anjing mempunyai keistimewaannya tersendiri, iaitu secara agak langsung memberikan teladan kepada pembaca untuk tidak mencontohi watak-watak yang berperangai buruk. Namun secara keseluruhannya, Shahnon Ahmad tidak memberikan hukuman yang jelas kepada watak-watak yang buruk tersebut.
            Dalam pengakuannya mengenai cerpen “Ayam dan Manusia” (Utusan Zaman, 13 Julai 1958), Shahnon Ahmad mengatakan:
            “Kisah rogol adalah kisah manusia juga. Kisah hina yang kini sudah menjadi kisah             sehari-hari; kisah kebiasaan. Ianya berlaku bukan setakat dalam tanah air kita sahaja: malah di setiap penjuru alam ini. Juga bukan di kota-kota besar sahaja tetapi juga di   desa-desa yang berselerak di kaki-kaki gunung tinggi. Juga bukan setakat golongan  bawahan sahaja melibatkan diri dalam hal ini. Golongan atasan juga tak kurang. Tokoh- tokoh politik. Pak Haji dan Pak Lebai. Malah di mana ada manusia, di situ ada rogol-rogolan. Kisah ini kisah lama yang berlaku di daerah saya sendiri. Salah seorang guru pelawat telah mabuk betina. Sana-sini mencari peluang. Ada lubang terus memasukinya tanpa pilih tanpa apa satu. Dan kemudiannya memasuki lubang kepunyaan manusia lain yang tiba-tiba muncul waktu itu. Alangkah sialnya guru pelawat itu. Hiruk-pikuk seluruh kampung kami dibuatnya. Dan kerana hiruk-pikuk yang berjalan selama tiga bulan itulah maka datang inspirasi untuk mencipta. Apalagi pada suatu petang ternampak seekor bapa ayam sedang bergelut dengan seekor ibu ayam. Terjadilah “Ayam dan Manusia” tadi”.                                        
 (Shahnon Ahmad, 1964:4)
            Dalam cerpen ini, pengarang menyamakan manusia seperti ‘bung besar’ dengan binatang yang hanya mencari kepuasan nafsunya semata-mata, iaitu ayam jantan yang sentiasa memburu ayam betina untuk memenuhi nafsunya. Ayam hanya menuruti naluri fitrahnya kerana tidak berakal, sedangkan manusia dikurniakan akal untuk berfikir dalam tindakannya yang dipandu oleh jalan agama. Pengarang mengkritik golongan atasan yang bertindak sesuka hatinya kerana pangkat, gaji dan kemewahannya. Golongan bawahan pula telah berani mencabar golongan atasan dan sanggup bertindak menentang penyelewengan mereka. 



Pemikiran dalam cerpen “Seketul Hati Seorang Pemimpin”
a)      Komunikasi rasa
Ungkapan, cerpen yang agak panjang yang mengisahkan politik kebadutan memberi rasa yang berbeza dalam pentafsirannya. Beliau seakan-akan meletakkan politik sebagai satu bidang yang penuh dugaan kesan tipu-tipuan, hipokrit, kepura-puraan dan main-mainan lisan. Justeru, komunikasi permulaan Shahnon dalam cerpen ini mengimbau kerisauan watak sebagai permulaan yang main-mainan lisan itu.
      “Malam hening penuh dengan kesepian tetapi kepala Nong berserabut dengan kebisingan juga; bersipongan dan terngiang-ngiang bagaikan kunang-kunang sesat terjebak dalam tengkoraknya.
                                                                                                                     (“Ungkapan”: 1)




Pemikiran dalam cerpen Debu Merah
a)      Ciri-ciri Peribadi Insan Kreatif (Sahsiah)
Salah satu pemikiran yang diketengahkan oleh Shahnon Ahmad dalam cerpen Debu Merah ialah ciri-ciri peribadi insan kreatif. Berdasarkan konteks Shahnon, ciri-ciri peribadi atau sahsiah yang diperlihatkannya merupakan kecerdasan atau kebolehan intelektual yang tinggi dalam pemikiran menerawang (divergent thinking). Bentuk pemikiran ini boleh dirujuk kepada pandangan Morton Hunt, iaitu meliputi sifat-sifat yang menyimpang daripada sifat yang konvensional serta mempunyai pelbagai alternatif penyelesaian, kefasihan, keaslian, dan kelenturan.
       Meneliti cerpen ini, Shahnon dilihat bersikap demikian apabila beliau dengan begitu bebas dan terbuka telah membentangkan pelbagai permasalahan dalam masyarakat yang disifatkan sebagai debu merah yang mengotori kehidupan mereka. Hal ini jelas apabila Shahnon melalui cerpen-cerpen tertentu dalam kumpulan cerpen ini telah mencanai sesuatu bahan atau pengalaman yang merangsang daya kreativitinya menjadi karya kreatif tanpa melakukan sebarang helah bela diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan